Heroin atau diasetilmorfin (INN) ialah opiod separa-tiruan yang merupakan terbitan 3,6-diasetil (oleh itu, heroin ialah diasetilmorfin) yang disintesiskan daripada morfina melalui proses pengasetilan.
Bentuk hablur putih biasanya merupakan garam hidroklorida, iaitu diasetilmorfin hidroklorida. Heroin sangat menagihkan, dan pengingesan kronik mengakibatkan toleran yang agak tinggi berbanding bahan-bahan yang lain, walaupun penggunaan sekali sekala tanpa sebarang simptom penarikan pernah diperhatikan.
Secara antarabangsa, heroin dikawal di bawah Jadual I dan IV bagi Konvensyen Tunggal Drug Narkotik. Pengeluaran, pemilikan, atau penjualan heroin di Amerika Syarikat adalah haram, tetapi di bawah nama diamorfina, heroin ialah drug preskripsi yang sah diUnited Kingdom.
Sejarah
Heroin disintesiskan buat pertama kali pada tahun 1874 oleh C.R. Alder Wright, seorang ahli kimia British yang bertugas di Pusat Pengajian Hospital St. Mary, London dan yang banyak menguji kaji terhadap penggabungan morfina dengan berbagai-bagai asid. Setelah mendidih alkaloid morfina kontang dengan asetik anhidrida selama beberapa jam, beliau menghasilkan satu bentuk morfina berasetilat yang lebih poten dan yang kini digelarkan diasetilmorfin. Sebatian itu dihantar ke F.M. Pierce dari Kolej Owens,Manchester, untuk analisis. Pierce melaporkan yang berikut kepada Wright:
- Dos-dos... disuntik secara subkutaneus pada anak-anak anjing dan arnab... dengan keputusan berikut... kelesuan, ketakutan, dan kantuk menyusul pemberian dengan laju, mata peka dan anak mata membeliak, banyak peliuran diakibatkan dalam anjing, dan sedikit kecenderungan untuk memuntah dalam beberapa kes, tetapi tiada sebarang kes emesis. Pernafasan pada mula-mulanya dipercepatkan, tetapi kemudian berkurang, dan tindakan jantung dikurangkan serta menjadi tidak nalar. Keupayaan terhadap pengkoordinatan pergerakan otot amat dikurangkan, dengan kehilangan kekuatan di bahagian pelvis dan anggota belakang, bersama-sama dengan pengurangan suhu di rektum sebanyak lebih kurang 4° (gagal rektum).
Felix Hoffmann dari syarikat Bayer di Elberfeld, Jerman, mencipta heroin sebagai ubat, 11 hari selepas beliau mereka aspirin. Takut akan kesan-kesan sampingan aspirin, Bayer mendaftarkan heroin sebagai cap dagangan. Nama "heroin" mungkin berasal daripadaheroisch, sepatah perkataan Jerman yang bermaksud "sungguh berani", dan telah dipilih kerana kajian-kajian luar mendapati bahawa orang-orang yang menggunakan ubat ini berasa "sungguh berani".
Dari tahun 1989 hingga 1910, heroin dipasarkan sebagai pengganti morfina tak menagihkan serta ubat batuk untuk kanak-kanak. Bayer memasarkan heroin sebagai "rawatan" untuk penagihan morfina sebelum heroin didapati menjadi morfina dalam hati. Sebenarnya, semua opiat ditukarkan oleh hati manusia menjadi molekul yang serupa, dengan darjah kepekatan yang berbeza-beza dalam aliran darah. Bayer berasa malu dengan dapatan yang baru ini yang kini menjadi satu kesilapan besar bersejarah bagi syarikatnya . Sebagaimana dengan aspirin, Bayer hilang sesetengah hak untuk cap dagangan heroin selepas Perang Dunia II.
Di Amerika Syarikat pada tahun 1914, Akta Cukai Narkotik Harrison diluluskan untuk mengawalkan penjualan dan penyedaran heroin. Undang-undang itu masih membenarkan heroin untuk dipreskripsikan dan dijual sebagai ubat. Disebabkan penagih-penagih sering masih dapat memperoleh bekalan heroin secara sah, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang tambahan pada tahun 1924 untuk mengharamkan semua penjualan, pengimportan atau pengilangan heroin di Amerika Syarikat.