SUBANG JAYA: Seorang penghuni sebuah pangsapuri di sini terkejut apabila melihat jirannya menanam uri bayinya yang baru lahir bersama sepasang but dan jersi bola.
Dia yang tidak menyangka kepercayaan seperti itu masih wujud di kawasan elit seperti Subang Jaya, dengan selamba bertanya: “mikrofon tak nak ke ?”
Bagaimanapun, bapa yang memang kaki bola itu hanya tersengih mendengar soalan si jiran.
Daripada kisah ini, apa yang jelas kepercayaan karut seperti menanam uri bersama pen atau buku dengan harapan si anak akan menjadi seorang yang pandai bila besar kelak, masih menebal sedangkan perbuatan itu hanyalah satu kepercayaan.
Bapa yang menanam uri anaknya bersama but dan jersi bola, tentu mahu si anak menjadi seperti David Beckham, sedangkan rasanya bapa Beckham pun tak pernah buat macam tu.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pusrawi, Dr Habibah Abd Ghani pula mendedahkan ada ibu bapa Melayu yang menanam uri bersama pensil, paku, jarum, gunting dengan harapan anaknya akan mempunyai kemahiran tertentu apabila dewasa nanti.
Malah ada juga yang menanam uri bersama dengan disket dan sebagainya kerana mahu anak mereka menjadi pakar dalam teknologi IT !
“Mungkin ada orang yang lakukannya. Itu semua kerana adat dan budaya turun-temurun. Jika ibu bapa di zaman ini tidak lakukan, pasti akan ditegur oleh orang tua.
“Dalam Islam, tiada adat seperti itu. Kita tanam uri supaya binatang buas tidak boleh menggali dan memakannya. Takkanlah kita mahu buang uri di tong sampah ? Takut perkara lain pula yang timbul seperti merebaknya jangkitan penyakit jika uri itu mempunyai masalah tertentu.
“Bagi saya, secara rasionalnya orang kita menanam uri adalah kerana adat dan oleh itu, hindarilah daripada terus memperkatakan perkara bukan-bukan mengenai uri,”katanya.
Apapun, BACARIA telah menghubungi Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Aluwi Parman untuk bertanyakan hal itu.
Menurut Aluwi, dalam Islam tidak ada nas yang menyuruh menanam uri mengikut cara itu, malah perbuatan itu adalah antara perkara yang boleh menyebabkan khurafat.
“Uri ialah satu benda yang mengiringi bayi. Kita hanya perlu menanamnya. Mungkin bersihkan sedikit, kemudian menanamnya. Tak payah basuh dengan asam garam,” katanya.
Dia yang sedang berada di Tanah Suci Mekah ketika dihubungi, berkata tidak perlu ada upacara menanam uri seperti yang masih dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu.
“Apa yang lebih baik dilakukan oleh si bapa ialah mengazan atau mengiqamat anaknya yang baru lahir seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad (SAW),” katanya lagi.
Bagaimanapun, adat atau kepercayaan ini sukar dihapuskan walaupun negara semakin maju.
“Ada yang masih berkeras mahu memasukkan uri di dalam tempurung kelapa sebelum menanamnya. Ada yang tanam bawah tangga. Saya pun tak tahu tujuannya.
“Selepas menanam uri, ada pula yang menyalakan pelita atau lilin kononnya untuk mengelak bayi mengalami kembung perut. Api itu dikatakan dapat ‘memanaskan’ bayi,” katanya.
Antara upacara karut-marut yang masih dilakukan sewaktu menanam uri ialah:
- Cuci uri itu dengan sempurna sehingga tiada bahagian yang tidak dicuci atau darah masih tertinggal.
- Kemudian rendamkan uri tersebut seketika di dalam air garam jantan (garam kasar).
- Bersihkan kembali uri tersebut dengan air biasa.
- Masukkan uri tersebut ke dalam tempurung kelapa yang hampir sempurna.
- Letakkan pen, buku atau apa-apa barang yang kita mahu anak kita dikaitkan apabila besar. Buku atau pen untuk mendapatkan anak yang pandai atau sekarang mungkin mikrofon kalau ibu bapa mahu anaknya nanti jadi seperti Siti Nurhaliza !
- Bungkus tempurung tadi dengan kain putih.
- Tanam sedalam sekurang-kurangnya sekaki di tempat-tempat yang jarang dipijak.
- Tanam berdekatan anjung rumah untuk bayi lelaki atau berdekatan dapur untuk bayi perempuan (kononnya nanti pandai memasak).
- Apabila malam nyalakan unggun api/pelita/lilin atau apa-apa yang seumpamanya di atas permukaan tanah tempat uri tadi ditanam untuk seminggu dua supaya bayi tak kembung perut.
Upacara ini dilakukan kerana kepercayaan bahawa uri ialah kembar bayi dan apa yang kita lakukan terhadap uri boleh mempengaruhi bayi apabila dewasa kelak. Contohnya kalau uri dibuang ke dalam tong sampah, nanti besar anak boleh jadi sampah masyarakat!
0 comments:
Post a Comment