Sunday 15 August 2010

Keladi


Pokok keladi terdapat dengan meluas di negara kita dengan pelbagai spesies pokok keladi seperti keladi hutan, minyak, gajah, putih, betawi, udang. Pokok keladi ini mempunyai pelbagai warna daun, tumbuh subur di kawasan bertanah gambut yang redup.

Pokok keladi lebih sesuai sebagai tanaman hiasan, sama ada ditanam dalam pasu atau di halaman rumah kerana tumbuhan ini hanya memerlukan cahaya matahari yang sederhana. Ia juga boleh ditanam di dalam pasu bagi menghiasi kawasan dalaman rumah.

Sekiranya terdedah kepada langsung kepada bahang matahari yang terik, ini akan menyebabkan daunnya pucat dan cepat layu. Kadar suhu paling sesuai bagi tanaman ini antara 25 hingga 30 darjah Celsius.

Pokok keladi dari keluarga Araceae dengan nama saintifiknya Caladium. Ia membiak menerusi ubi atau rizomnya pada paras permukaan tanah saja. Antara variasi keladi yang cantik dan menjadi pilihan peminat seni taman ialah Caladium Bicolor yang mempunyai warna merah cerah di tengah dan hijau pada bahagian tepi daunnya. WARNA putih dan berjalur hijau nampak cerah dan menawan.

Caladium Splendens yang hidup meliar di kebun kelapa sawit dan getah mempunyai daun sederhana besar yang berwarna hijau berbintik merah dan putih.

Keladi Changjur pula menyerlahkan kecantikannya dengan urat daun yang berwarna putih seolah-olah membahagi-bahagikan kehijauan klorofilnya. Bagaimanapun, keladi Hortulanum pula mempunyai urat daun yang berwarna hijau dan latarnya berwarna putih. Keladi Humboldtii Schott ada urat daun berwarna merah berlatarkan warna hijau dan berbintik putih.

Perbezaan seperti inilah ditakrifkan sebagai suatu kesenian yang ada pada setiap jenis pokok keladi.

Baja paling baik untuk meningkatkan kesuburan pokok keladi ialah bahan yang mengandungi kadar nitrogen yang tinggi. Selain keladi berwarna-warni, keladi hutan atau keladi yang boleh dimakan seperti keladi betawi, keladi udang, keladi minyak boleh dimanfaatkan untuk hiasan taman.

Bahkan, ramai peminat seni taman berminat menanam keladi gajah yang mempunyai daunnya yang melebar walaupun hanya mempunyai satu warna iaitu hijau.

Sesetengah peminat seni taman sanggup membina sangkar kalis panas untuk mengekalkan suhu dan kelembapan bagi membolehkan pokok keladi hidup dengan subur. Teknik ini membolehkan keladi ditanam di atas tanah dan tidak perlu menggunakan pasu. Kesuburannya juga tidak terbantut.

Kebijaksanaan penanam amat penting untuk menyusun tona warna keladi supaya kelihatan lebih menarik. Misalnya, keladi berwarna digabungkan dengan keladi hijau yang bersinar daunnya dan pada bahagian belakang pula diserikan dengan latar keunikan warna daun pokok andung (Cordyline Terminalis Var) yang berwarna merah dan hijau florosen.

Bagi pokok keladi yang tidak tinggi latarnya boleh dihiasi dengan pokok pisang sepit, Dracaena atau tumbuhan kumpulan Pleomele (pandan India) yang boleh dibiakkan dengan keratan batang.

Keladi putih pula boleh diserlahkan keunikan daunnya dengan menanam pada rumpun pokok palma yang berdaun hijau tua dan persekitarannya boleh dihiasi sama ada dengan batu kerikil, batu bukit atau batu pulau.

Bagi keladi gajah atau keladi gergasi, penanamannya kelihatan lebih menarik apabila pokok bunga mawar, bunga lili atau carnation dijadikan objek hiasan bawahan.

Peminat pokok keladi harus diingat, penanaman di dalam rumah juga masih memerlukan sinar cahaya matahari. Keladi yang mendapat sedikit cahaya terutama di tempat yang gelap menjadikan tangkainya panjang dan sukar diurus.

0 comments:

Post a Comment

kod iklan nuffnang
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...