Sony PlayStation adalah sebuah konsol permainan video 32-bit generasi kelima keluaran Sony. Mula dikeluarkan pada pertengahan 1990-an, ia merupakan antara konsol permainan video paling popular di dunia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 102.49 juta unit setakat Mac 2005.. Selain versi asal, PlayStation juga dikeluarkan dalam versi Net Yaroze (versi berwarna hitam yang boleh digunakan untuk mengatur cara permainan PS ringkas) dan juga PS One, iaitu versi PlayStation yang telah dipadatkan.
SejarahMenurut buku "Game Over" karangan David Scheff, konsep PlayStation mula muncul seawal 1986 semasa Nintendo yang sedang popular dengan konsol Famicom sedang berusaha membangunkan teknologi cakera yang dirancang untuk digunakan dalam konsolnya yang lebih baru, tetapi media storan tersebut menghadapi masalah seperti mudah dipadam serta mudah dicetak rompak. Semasa Sony dan Phillips sedang membangunkan format CD-ROM/XA (yang menggabungkan data komputer, audio dan visual agar ketiga-tiganya dapat dicapai serentak), Nintendo segera berunding dengan Sony untuk membangunkan sejenis CD-ROM bagi format Nintendo, yang dinamakan secara sementaraan sebagai "SNES-CD". Pada masa itu, Nintendo memilih untuk bekerjasama dengan Sony kerana Ken Kutaragi yang dikenali sebagai "Bapa PlayStation" telah memperkenalkan cip mikropemproses Sony SPC-700 untuk digunakan sebagai cip sintesis audio bagi konsol Super Famicom/SNES. Selain itu, Sony juga merancang untuk membina konsol serasi Nintendo berjenama sendiri yang boleh memainkan kesemua katrij permainan Nintendo serta format baru CD-ROM SNES yang hendak dibangunkan, memberikan Sony darjah kawalan yang lebih besar terhadap Nintendo.
Pada tahun 1989, projek SNES-CD sepatutnya diumumkan semasa Pertunjukan Elektronik Pengguna, tetapi dibatalkan secara mengejut oleh Nintendo kerana Hiroshi Yamauchi telah membaca kontrak tahun 1988 antara Nintendo dengan Sony dan sangat marah dengan syarat yang terkandung di dalam kontrak tersebut. Sebaliknya, Nintendo mengambil keputusan untuk membatalkan kerjasama dengan Sony dan seterusnya bekerjasama pula dengan Phillips dengan syarat Nintendo mempunyai lebih kuasa terhadap projek tersebut yang bakal dikeluarkan oleh Phillips. Pengumuman tersebut amat mengejutkan, terutamanya di kalangan komuniti bisnes Jepun kerana ia dianggap satu pengkhianatan besar - sebuah syarikat Jepun tergamak menikam syarikat Jepun lain dan seterusnya bersekongkol dengan syarikat asing - satu perkara yang dianggap tidak masuk akal di kalangan dunia korporat Jepun.
Sungguhpun Nintendo menamatkan kerjasama dengan Sony, namun Sony tetap membangunkan projek tersebut yang dinamakan sebagai Play Station. Tindakan tersebut membawa kepada perbalahan di dalam mahkamah, di mana Nintendo menuntut agar Sony berhenti membangunkannya atas alasan kononnya nama Play Station dimiliki oleh Nintendo. Namun demikian, mahkamah menolak tuntutan Nintendo.
Pada penghujung 1992, Sony dan Nintendo mencapai persefahaman di luar mahkamah, di mana Sony masih boleh membangunkan konsol baru tersebut, tetapi Nintendo memiliki hak menerima keuntungan bersih daripada permainan bagi konsol tersebut. Selain itu, konsol baru itu juga seharusnya mempunyai satu port yang membolehkan permainan lama Nintendo dimainkan. Dalam masa yang sama juga, Nintendo akan terus menggunakan cip buatan Sony di dalam konsol SNES. Namun demikian, Sony menyedari bahawa teknologi SNES sudah dianggap lapuk, maka Sony membangunkan semula konsol baru tersebut daripada mula tanpa menyertakan port untuk katrij Nintendo, dan konsol buatan Sony tersebut dinamakan semula sebagai "PlayStation", tanpa jarak antara kedua-dua perkataan tersebut.
PS One yang lebih kecil dengan monitor LCD.
Pada tahun 1999, versi PlayStation yang lebih kecil iaitu PS One diperkenalkan. Sejak dilancarkan, PlayStation menjadi konsol yang paling lama dikeluarkan di dalam industri permainan video. Pengeluaran PlayStation ditamatkan pada 23 Mac 2006.
0 comments:
Post a Comment