Sunday 21 February 2010

Karburetor



Karburetor adalah sejenis alat yang digunakan bagi mencampurkan bahan api petrol dengan udara dengan kadar yang betul bagi kegunaan enjin pembakaran dalaman. Ia pernah digunakan secara meluas pada kereta sehingga dekad 1990-an apabila ia digantikan dengan sistem suntikan bahan api yang lebih cekap. Kini, hampir kesemua kereta model terkini serta kebanyakan model motosikal besar menggunakan suntikan bahan api manakala karburetor kini hanya digunakan pada enjin-enjin kecil seperti pemotong rumput serta pada motosikal kecil.

Perkatan "karburetor" berasal daripada perkataan Perancis iaitu carbure yang bermaksud 'karbida' ataupun 'menggabungkan dengan karbon'.


Karburetor berfungsi menggunakan Prinsip Bernoulli iaitu bergantung kepada tekanan udara rendah dalam karburetor hasil daripada kelajuan luruan udara ke rongga masukan enjin untuk menarik bahan api untuk dicampurkan bersama-sama udara. Lebih laju luruan udara masuk, lebih rendah tekanan udara di dalam karburetor serta lebih banyak bahan api dapat ditarik untuk dicampurkan dengan udara, dan seterusnya kelajuan enjin akan bertambah hasil penambahan campuran udara-bahan api.

Kebanyakan enjin kereta berkarburetor hanya menggunakan satu sahaja karburetor tetapi motosikal serta kereta lumba pula menggunakan berbilang karburetor mengikut bilangan silinder. Namun begitu, di dalam sistem suntikan bahan api pula, kebanyakan kenderaan mempunyai berbilang pemancit bahan api mengikut bilangan silinder.


Sebuah karburetor asas terdiri daripada beberapa bahagian berikut:-

  • Takungan bahan api - menerima bahan api dari tangki minyak
  • Venturi - bahagian aliran udara paling sempit bertujuan meningkatkan kelajuan luruan udara bagi menghasilkan tekanan udara paling rendah pada bahagian berkenaan bagi menarik bahan api keluar melalui jet utama. Biasanya saiz venturi adalah tetap, tetapi kerburetor injap gelungsur pula mempunyai satu injap gelungsur boleh laras yang mengawal saiz venturi.
  • Jet utama - laluan keluar utama bahan api ke venturi; alirannya dikawal oleh tekanan rendah pada venturi, tetapi pada sesetengah karburetor terutamanya jenis injap gelungsur pula jarum pada injap gelungsur turut mengawal bukaan jet utama.
  • Jet melahu - saluran sempit bagi menyalurkan udara dan bahan api semasa kelajuan melahu iaitu semasa injap pendikit tertutup.
  • Injap pendikit - terletak di bahagian hujung saluran udara karburetor, injap pendikit mengawal bukaan saluran udara selepas venturi bagi mengawal aliran campuran udara-bahan api ke enjin; dengan itu injap pendikit turut mengawal kelajuan enjin secara langsung. Injap pendikit disambungkan ke injak pendikit ataupun genggam pendikit bagi membolehkan pemandu keretaatau penunggang motosikal mengawal kelajuan enjin. Biasanya injap pendikit terdiri daripada injap rerama tetapi dalam sesetengah karburetor injap gelungsur, injap gelungsur itu sendiri turut bertindak sebagai injap pendikit.
  • Injap pencekik - terletak di bahagian pangkal saluran udara karburetor sebelum venturi, injap pencekik menyekat aliran udara bagi menghasilkan campuran udara-bahan api yang lebih kaya agar enjin lebih mudah dihidupkan semasa sejuk. Injap pencekik dikawal sama ada menggunakan tombol pencekik secara manual ataupun dengan menggunakan mekanisme automatik. Sesetengah karburetor tidak mempunyai pencekik tetapi menggunakan udara yang dipanaskan oleh saluran ekzos untuk memudahkan enjin dihidupkan semasa sejuk.

0 comments:

Post a Comment

kod iklan nuffnang
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...