Friday 8 July 2011

Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang



Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang (mati 1498) ialah Bendahara Melaka yang ke-5 adalah Bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka. Pangkat ini yang membawa gelaran "Bendahara Paduka Raja" dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden. Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.
Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445 ketika berlangsungnya permusuhan antara kerajaan Siam dan Melaka. Maka, Tun Perak diperintahkan untuk datang ke Melaka bersama-sama orang Kelang yang lain, lelaki mahupun perempuan. Tindakan Tun Perak membawa sekali golongan perempuan menimbulkan persoalan pada Sultan Muzaffar Syah kerana mereka dikehendaki berperang. Tun Perak memberi alasan bahawa kedatangan perempuan adalah supaya lelaki akan berperang lebih bersungguh-sungguh untuk melindungi anak dan isteri mereka.
Setelah menewaskan percubaan Siam untuk menakluk Melaka pada tahun 1446, beliau dilantik oleh baginda Sultan Muzaffar Syah sebagai Bentara.





Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil ketika itu sudahpun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali. Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri. Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudahpun berbaik dengan Tun Perak.
Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar Paduka Raja pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara keempat, diantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja.
Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor,Pahang,Kelantan,Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka. Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi Politik, sosial, dan ekonominy.Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China,India,Timur tengah serta negara-negara jiran yang lain.



Bendahara merupakan satu jawatan pentadbiran dalam kerajaan klasik Melayu sebelum kedatangan kuasa barat pada abad ke-19. Bendahara dilantik oleh Sultan dan merupakan jawatan yang diwarisi. Jawatan ini dipegang oleh keluarga Bendahara. Bendahara dan Sultan berkongsi jurai keturunan yang sama.



Walaupun tidak jelas bila gelaran Bendahara itu mula-mula digunakan, namun paling jelas telah terdapatnya beberapa orang Bendahara Melayu yang berpengaruh misalnya Tun perak yang pernah menjadi Bendahara bagi Kesultanan melayu melaka. Di bawah perkhidmatan Tun Perak, Melaka telah mencapai kemuncaknya pada lewat abad ke-15. Menurut Sejarah melayu dan Hikayat Hang Tuah, Bendahara Tun Perak secara rahsia telah menyembunyikan Hang Tuah, seorang Laksamana Melayu yang pernah diperintahkan oleh Sultan untuk dihukum bunuh.
Pada tahun 1612, Bendahara Tun Sri Lanang dari Kesultanan Johor telah ditugaskan oleh Sultan Alauddin Shah Riaayat Johor untuk menyusun sejarah Melayu dan rekod sejarah ke dalam buku. Buku ini dikenali sebagai Sulalatus Salatin dan kemudiannya dikenali sebagai Sejarah melayu , sebuah karya sastera yang penting dalam sejarah bahasa melayu. Pada tahun 1699, Bendahara Abdul Jalil menjadi Sultan Abdul Jalil IV Johor selepas sultan sebelumnya, Sultan Mahmud Shah II telah dibunuh, tiada meninggalkan waris di belakang. Selepas pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, yang telah dianugerahkan Bendahara Pahang sebagai wilayah pemerintahan peribadinya. Bendahara Tun Abbas dan keturunannya memerintah Pahang berterusan sehingga Tun Mutahir, yang telah digulingkan dalam perang saudara pada tahun 1863.
Semasa era Kesultanan Terengganu yang diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin I Terengganu pada 1708. Bagida adalah anak kepada Tun Habib Abdul Majid, bendahara Johor abad ke-17.




Menurut Kamus dewan Edisi Ke-empat , Bendahara membawa erti berbeza seperti:
  1. Orang yang memegang harta benda kerajaan;
  2. Perdana Menteri, Wazir;
  3. Menteri dalam permainan catur;
Perbendaharaan
  1. Khazanah (tempat simpanan harta benda negara): pejabat ~;
  2. Kekayaan (harta benda, barang-barang, dan lain-lain)
  3. Bendahari hasilan dari kata nama bendahara.
Penglibatan British dan Belanda dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu dan seterusnya pada era kemerdekaan Malaysia dan Indonesia telah mengurangkan peranan Bendahara kepada sekadar gelaran simbolik sahaja.
Pada zaman moden ini, Bendahara di negeri-negeri Melayu telah ditukarkan kepada bentuk yang lebih khas dan tunggal iaitu sebagai seorang Perdana menteri. Namun bagi negeri-negeri Melayu, sesetengah pandangan mengatakan ia juga sama peranannya sebagai seorang Ketua menteri ataupun Menteri besar. Walaupun tugas Bendahara adalah sama dengan peranan Perdana Menteri, namun kedua-dua terma adalah tidak sama dan berbeza. Satu perbezaan yang jelas ialah jumlah kuasa yang dipegang oleh kedua-dua jawatan. Pada masa dahulu, Bendahara itu biasanya terletak secara rasminya pada kedudukan tertinggi selepas Sultan. Sultan pula merupakan seorang yang berkuasa mutlak bagi memerintah sesebuah negara Melayu itu. Sultan itu tidak bertanggungjawab kepada Bendahara, atau kepada orang lain untuk sesuatu perkara. Dalam erti kata lain Sultan mempunyai suatu nilai kekebalan dalam apa jua perbuatannya sehinggakan undang-undang dan perlembagaan negara pada ketika zaman Melayu lama tidak mampu menandingi kekebalan mutlak Sultan. Sultan pada zaman dahulu tidak terhad kepada kedudukan seperti Yang Di-pertuan Agong dalam tempoh sementara atau bergiliran.

0 comments:

Post a Comment

kod iklan nuffnang
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...